Follow Us @kamharyatie

Friday 30 August 2024

Contohi Asma' Abu Bakar Bantu Bina Agama, Bangsa Dan Negara



 
Menyorot kisah peranan wanita dalam pembangunan negara sempena sambutan Bulan Kemerdekaan ini, pembabitan golongan ini sebenarnya bermula sejak awal dakwah Rasulullah SAW lagi.

Penubuhan Madinah sebagai sebuah negara Islam dilihat penting kerana dari situlah titik tolak perjalanan penyebaran Islam ke serata dunia sehingga sampai nikmat Islam itu kepada kita hari ini.
 
Permulaan turunnya wahyu, dakwah Baginda dijalankan secara rahsia dan tersembunyi. Pada waktu itu juga, wanita memberikan komitmen yang sangat tinggi terhadap perjalanan dakwah Islam tanpa sedikit pun gerakan rahsia ini terbongkar atau ada maklumat yang bocor.
 
Lihatlah bagaimana Islam mendidik wanitanya untuk berperanan dan bertanggungjawab melaksanakan sesuatu dengan tertib, berpendirian teguh dan penuh amanah.
 
 
 

Siapa Asma’ Abu Bakar

Asma’ Abu Bakar As-Siddiq, merupakan anak kepada Sayidina Abu Bakar as-Siddiq. Adiknya Aishah binti Abu Bakar merupakan isteri kepada Nabi Muhammad S.A.W. 
 
Menyusuri perjalanan pejuang Islam wanita ini, kita dapati sejak zaman Rasulullah SAW lagi, wanita diangkat dan diberikan kepercayaan tinggi.
 
Gelaran mulia ‘Dzatun Nithaqain’ iaitu ‘Wanita Yang Mempunyai Dua Tali Pinggang’ diberikan Rasulullah kepada Asma’. sebagai memperingati pengorbanan beliau ketika peristiwa Hijrah Rasulullah dari Makkah ke Madinah.
 
Tanggungjawab sebagai penyimpan rahsia agama dan negara terpikul di atas bahu Asma’. pada saat Rasulullah datang menemui Saidina Abu Bakar, ayahandanya sendiri untuk menyampaikan berita perintah berhijrah.
 
Menurut Sahih Al Bukhari, dari Saidatina Aisyah, juga adik kepada Asma’. menceritakan bahawa “Pada suatu siang di rumah Abu Bakar, Rasulullah SAW datang dalam keadaan penyamaran”.
 
Pada waktu itu, seluruh keluarga Saidina Abu Bakar termasuk Asma’. mengetahui mengenai penghijrahan Nabi Muhammad yang perlu dilakukan secara sulit dan sembunyi.
 
Asma’. ketika itu dipertanggungjawab menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah dan Saidina Abu Bakar ketika kedua-duanya bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hijrah mereka ke Madinah.
 
Dengan penuh kecintaan terhadap Islam dan Rasulnya, Asma’. mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua untuk dijadikan tali pengikat bekalan makanan untuk dibawa ke gua. Dari peristiwa inilah Asma’ mendapat gelaran ‘Dzatun Nithaqain’.
 
Bukan saja keberanian mendorong perjalanan Asma’ sebagai penghantar makanan, malah kecerdikan akalnya dizahirkan dengan perancangan strategi perjalanannya.
 
Asma’ sedar bahawa dua sahabat yang akan menerima bekalan itu sangat berperanan penting dalam menegakkan agama Islam ke seluruh pelosok dunia.
 
Dengan berhati-hati beliau berjalan ke tempat persembunyian Rasulullah SAW dengan diiringi sekawan kambing yang berjalan di belakangnya pada hening malam.
 
Tujuannya supaya jejak tapak kaki beliau di padang pasir itu terhapus dengan jejak kambingnya bagi mengaburi pihak musuh yang sedang memburu Rasulullah untuk dibunuh.

 

 

Penyimpan Amanah Terbaik

Ketika peristiwa itu, Asma’ sedang hamil, namun demi ketaatan dan keimanan yang teguh, beliau rela mempertaruhkan nyawanya semata-mata untuk menyampaikan berita kepada Rasulullah mengenai rancangan orang Quraisy di Makkah.

Malah, keselamatan Nabi Muhammad dan Saidina Abu Bakar ketika itu terancam jika Asma’ tidak berhati-hati.

Kisah Asma’. ini mengajar kita tentang peranan wanita dalam gerakan politik bagi memastikan kelangsungan hidup Rasulullah dan ajaran Islam yang akhirnya membawa kepada kejayaan pembentukan negara Islam berdaulat.

Malah, selepas kejayaan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar keluar dari tempat persembunyian untuk berhijrah ke Madinah, Asma’ didatangi beberapa kaum Quraisy, diketuai Abu Jahal yang bertanyakan pelbagai soalan tentang tempat persembunyian Muhammad.

Tanpa gerun Asma hanya menjawab ‘tidak tahu’ sehingga ditampar Abu Jahal menyebabkan subang di telinganya terlepas.

Kisah pendek tokoh pejuang Islam ini membuktikan bagaimana Islam mengangkat wanita sehingga mendapat kepercayaan tertinggi dan penyimpan amanah terbaik.

Zahirnya nampak kecil, tetapi dalam sejarah Islam ia adalah kejayaan yang sangat besar dan bermakna. Kisah Asma’ perlu dijadikan iktibar kepada wanita hari ini untuk memainkan peranan besar dalam pembinaan masyarakat, tamadun negara, penggubal dasar dan membawa syariat Islam di muka bumi.

Semoga seluruh wanita mampu memacu peranan dan tanggungjawab mereka supaya tidak terhad hanya kepada diri sendiri serta keluarga sahaja, bahkan pembabitan mereka penting ke arah membangunkan agama, bangsa dan negara.

 


 



No comments:

Post a Comment