Follow Us @kamharyatie

Saturday 30 August 2014

AKULAH PENYAMBUNG WARISAN



 

Saya bukan orang lama. Umur saya baru 37 tahun. Saya tidak pernah mengalami situasi hidup pada zaman kita dijajah. Tapi, saya rasa cukup bersyukur dan rasa sangat bertuah kerana dilahirkan selepas zaman tersebut.


Dan atas rasa syukur inilah yang buat saya tidak pernah lupa tentang nasib datuk nenek kita yang hidup sebelum merdeka. Saya bukanlah seorang yang minat tentang sejarah sebenarnya.

Masa sekolah, sejarah antara subjek yang saya kurang minat, sebab kena membaca, dan kalau suruh saya membaca, saya selalu tertidur.

Tapi, seiring dengan peningkatan usia, dan penglibatan saya di dalam bidang yang 'berkaitan', membuatkan saya sedar tentang betapa pentingnya kita mengetahui tentang sejarah. Sejarah hitam sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Nyawa tiada harga, hidup sentiasa di dalam ketakutan, ditindas, dibunuh sesuka hati, tiada kebebasan, anak gadis dan wanita sentiasa diganggu, taraf kehidupan dan kesihatan yang tidak terurus. 

Antara kekejaman yang dilakukan di zaman penjajahan Jepun


Untuk pengetahuan anda, abah saya adalah seorang bekas komando. Abah seorang yang sangat pendiam. Sebab tu kalau orang tanya kisah abah saya, saya tak berapa nak tahu. Tapi, saya rajin membaca khazanah beliau yang tersimpan rapi di rumah. 

Tapi, dalam tidak sedar, abah adalah orang yang sering mengingatkan saya mengenai sejarah negara, dan ia sebenarnya memberi kesan kepada saya untuk mengubah diri menjadi seorang yang menghargai sejarah.

Walaupun saya bukan seorang tentera, tapi, saya bersyukur kerana saya sebenarnya masih dapat memberi khidmat bakti kepada negara melalui pekerjaan saya.

Saya bersyukur kerana ditakdirkan terlibat di dalam projek-projek yang melibatkan keselamatan negara.

Saya bersyukur kerana mampu menyumbang sedikit khidmat, kemahiran, pengetahuan dan kepakaran yang saya ada, demi untuk mempertahankan keselamatan negara tercinta.




Sehingga ke hari ini, saya telahpun mendapat pendidikan yang terbaik, dapat kerja yang baik, hidup dalam keadaan aman bahagia, dapat menjalankan kehidupan yang cukup selesa, dapat berniaga dan tambah pendapatan dengan mudah, boleh ke mana-mana sahaja tanpa gangguan.

Apa lagi yang saya mahu? Saya rasa saya dah dapat semua. Tapi, semangat patriotisme sebenarnya tersangat penting yang patut ditanam di dalam jiwa generasi muda.

Kita mesti sedar tentang sejarah negara, dan kita adalah orang yang bertanggungjawab dalam meneruskan perjuangan mempertahankan hak negara Malaysia.

Generasi muda sekarang hidup dalam zon selesa dan keadaan negara yang begitu aman tanpa lagi mempedulikan keperitan pejuang negara yang bermandi darah ­membebaskan Tanah ­Melayu ketika zaman penjajahan.


Jangan sesekali memperlekehkan tugas dan tanggungjawab mereka yang diamanahkan dalam menjaga dan mempertahankan keselamatan negara.

Setiap daripada kita ada peranan masing-masing. Jangan sekali-kali kita benarkan sejarah berulang. Tapi pertahankan apa yang kita ada sekarang, dan perbaiki mana yang kurang. 


"Orang yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya"
- George Santayana 

"Hargailah dan pertahankan kemerdekaan negara kerana azab hidup pada zaman penjajahan masih berbekas parutnya hingga ke hari ini." 
- Tan Sri Aishah Ghani 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan.
 Mudah-mudahan, negara kita Malaysia dan seluruh isinya sentiasa di bawah lindungan Allah.  
Kekal Aman dan Bahagia Buat Selama-lamanya



Akulah Penyambung Warisan...