Follow Us @kamharyatie

Thursday 31 July 2014

BENARKAH ISLAM MENGAJAR KAEDAH PEMBOIKOTAN (BOYCOTTING)?




Saya dapat entri kali ni dari akhbar Utusan Malaysia. Saya rasa ramai yang dah jarang baca newspaper kan? So, saya capture dan kongsikan tips di sini. Isu yang sedang hangat tentang BOIKOT. 


Ada beberapa sebab kita perlu boikot sesuatu barangan, samada disebabkan peningkatan melampau harga sesuatu barang atau yang berkaitan dengan kekejaman Rejim Zionis melanggar hak asasi manusia di bumi Palestin. 

Kita semua perlu lakukan sesuatu dan bertindak untuk memboikot. Ramai yang tak tahu, sebenarnya kaedah memboikot ini sebenarnya telah diajar sejak dari dahulu lagi. Islam sendiri yang memberi panduan cara-cara yang betul untuk memboikot. 

Jemput baca ye. Semoga semua mendapat manfaat.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 
 Kaedah Menangani Kenaikan Harga Barang Mengikut Perspektif Islam

Islam merupakan agama lengkap yang banyak memberikan panduan kepada umatnya dalam setiap aspek kehidupan. Begitu lengkapnya agama Allah ini, kaedah bagi menangani peningkatan kos sara hidup turut diajarkan.

Antara yang boleh dijadikan iktibar ialah kisah bagaimana Saidina Umar Al Khattab menangani aduan berkenaan kenaikan harga daging dipasaran yang diutarakan kepada beliau. 

Umat Islam pada ketika itu meminta Saidina Umar memberi tekanan kepada para penjual daging untuk mengurangkan harga jualan mereka yang mana permintaan mereka itu ditolak beliau sambil meminta mereka sendiri yang menurunkan harga daging tersebut. 

Pelik dengan jawapan balas yang melantun daripada mulut Amirul Mukminin itu, para pengadu berkenaan bertanyakan kepada beliau bagaimana mereka dapat melakukan demikian kerana mereka adalah pengadu, bukannya penjual.

Saidina Umar seterusnya menjelaskan bahawa saranannya agar mereka sendiri yang menurunkan harga daging, bermaksud elakkan daripada membeli daging berkenaan dan saranan tersebut telah diikuti dan dilaksanakan mereka.

Pemboikotan para pembeli itu akhirnya menyebabkan para penjual daging berkenaan tertekan dek kerana barangan mereka tidak dapat dijual kerana tiada orang yang mahu membelinya sehinggakan para penjual terpaksa menurunkan kembali harga daging yang dijual.

Dengan pemboikotan itu, permintaan ke atas daging berkurang. Kesannya harga daging menurun. Justeru, tindakan mereka memboikot daging sama seperti mereka menurunkan harga daging tersebut. Melalui saranan boikot ini, Syaidina Umar menghantar dua mesej penting.


2 Mesej Penting



Pertama, bila berlaku kenaikan harga barang, para pengguna mempunyai 'kuasa' menjadikannya murah. Dalam ungkapan lain, mereka berkuasa' menurunkan harganya. Iaitu melalui pemboikotan. 'Kuasa' menurunkan harga barang bukan hanya terletak di tangan penjual.

Kedua, pemboikotan sebagai kaedah mendepani kenaikan harga barang, bukanlah idea baru. Ia sudah wujud sejak zaman para Salaf lagi dan lebih menakjubkan ialah saranan itu bertepatan dengan hukum tawaran dan permintaan dalam ekonomi.

Dua mesej yang terselit dalam saranan Syaidina Umar ini merupakan satu teguran secara tidak langsung kepada mana-mana pihak yang memperlekehkan saranan agar menjadikan boikot sebagai satu pendekatan menangani krisis kenaikan barang.

Tegasnya, tidak semua benda boleh diboikot. Namun, pemboikotan barangan yang mampu diboikot oleh pengguna, tetap senjata sahih dan ampuh bagi menyurutkan kenaikan harga.

Menyedari pemboikotan sebagai kaedah menangani kenaikan harga barang merupakan idea yang telah dikemukakan Syaidina Umar, golongan agamawan khususnya mesti menjauhi sikap memperlekeh mana-mana pihak yang menyarankan idea ini bagi mengatasi krisis kenaikan harga barang yang sedang berlaku.

Ini kerana, apabila seorang agamawan ditanya tentang kaedah mendepani krisis kenaikan harga barang menurut persepsi Islam, tidak dapat tidak, mereka akan merujuk kepada, antaranya pendapat para ulama zaman silam dan masa kini.

Justeru, mereka pasti akan bersua dengan pandangan Syaidina Umar r.a ini, dan tidak dapat tidak, mereka terpaksa menyatakan bahawa fiqah Islam memperakui pemboikotan merupakan salah satu kaedah menangani kenaikan harga barang.

Meskipun demikian , tidak dinafikan bahawa idea pemboikotan sebagai satu kaedah mendepani kenaikan harga dan situasi tertentu - perlu diolah sebaiknya dan dikemukakan dengan bahasa mesra pengguna.

Ungkapan guna kuasa pengguna untuk menurunkan harga barangan dengan menghentikan sementara pembelian barangan terbabit dan seumpamanya, mungkin lebih mesra lalu boleh diterima masyarakat.

Sorotan ke atas perbendaharaan ilmu para salaf, menemukan satu lagi idea yang ditampilkan sebagai pencabar kepada serangan kenaikan harga barang. Idea ini dicetuskan Syaidina Ali, Imam Daraqutni dalam karyanya al-Mu'talif Wa al-Mukhtalif mencatatkan bahawa imam Bukhari meriwayatkan dengan sanad beliau sendiri seperti berikut:

Razeen al-A'raj, mawla (hamba yang dibebaskan) keluarga al-Abbas r.a bin Abdul Muttalib berkata, "[pernah terjadi harga anggur kering di Mekah menjadi mahal. Lalu kami menulis surat kepada Syaidina Ali r.a yang berada di Kufah, mengadukan kepada beliau perkara itu. Lalu Syaidina Ali r.a menulis kepada kami yang berbunyi, murahkanlah harganya dengan kurma.

Dengan syor ini, Syaidina Ali r.a mengetengahkan idea, beralih kepada barangan lain yang sejenis bagi mengatasi kenaikan harga sesuatu barang. Cadangan agar penduduk Mekah ketika itu beralih daripada anggur kering kepada kurma, dibuat kerana kurma adalah makanan sejenis dengan anggur kering, selain ia banyak terdapat di Mekah dan harganya murah.

Dengan kaedah ini, permintaan terhadap anggur kering akan menyusut, dan tidak dapat tidak, harganya akan menurun.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Begitulah indahnya Islam. Semua masalah pasti ada penyelesaiannya. Banyak perkara yang kita sepatutnya boikot sekarang ni. Kenaikan harga barang melampau, kenaikan harga rumah melampau, Kenaikan harga petrol melampau.

Bukan nak boikot selama-lamanya. Boikot untuk sementara waktu sehingga penjual terpaksa menurunkan harga ke paras yang munasabah. Kemudian, baru lah kita boleh beli semula.



BOIKOT ZIONIS ISRAEL

Untuk boikot barangan yang berkaitan dengan Zionis Israel pula, kita boikot dengan cara beralih kepada produk-produk alternatif yang lebih kurang sama dengan produk tersebut, tetapi yang tiada kaitan dengan Zionis Israel. 

Dan perlu diketahui, bahawa boikot terhadap Zionis Israel dianjurkan secara global oleh negara-negara di seluruh dunia. Konflik Israel-Palestin bukan konflik keagamaan, tetapi ia adalah konflik kemanusiaan. Telah jelas dan nyata majoriti dunia sekarang berpihak kepada Palestin. Seluruh dunia sekarang sudah pun tahu apa sebenarnya yang berlaku. 

Boikot sebenarnya adalah juga salah satu strategi peperangan. Peperangan di zaman moden tidak lagi tertakluk pada senjata. Peperangan kita terhadap Zionis adalah peperangan sebenar kerana ia melibatkan ekonomi, politik, sosial, budaya dan pembelajaran. 

Perdana Menteri Israel sendiri mengaku bahawa kaedah boikot ini akan memberi masalah besar kepada Israel. Dianggarkan, ekonomi mereka bakal mengalami kerugian USD5.7 billion sekiranya boikot ini berlarutan.

Diharapkan dengan kerugian yang mereka alami ini akan membuatkan mereka ketandusan dana untuk membeli peralatan peperangan dan akhirnya mereka terpaksa menarik diri dari terus-terusan melanggar hak asasi warga Palestin.
Kita sendiri nampak Zionis sendiri telah berjaya mengawal seluruh dunia melalui produk-produk mereka yang ada sesetengahnya kita sendiri tidak mampu untuk elak, contohnya dalam bidang teknologi. Ce tengok berapa banyak produk mereka yang berjaya memonopoli ekonomi dunia.


Walaupun tak dapat boikot semua produk, sekurang-kurangnya jangan lah tak boikot langsung. Walaupun tak banyak, yang penting ada sumbangan dan usaha kita untuk kebangkitan Gaza. 

Jangan main-main dengan kaedah pemboikotan kerana ia adalah satu kedah yang telah terbukti sangat efektif. Diharap ia sebagai salah satu jihad kita tanpa perlu mengangkat senjata dan berperang.

Jika anda rasa entri ini bermanfaat, sila klik LIKE button di bawah dan dipersilakan SHARE. Semoga lebih ramai yang mendapat manfaat.