Follow Us @kamharyatie

Friday 18 October 2013

Saya Tunggu Ibu dan Ayah di Pintu Syurga....




Kisah 5 tahun yang lalu.....

Kelmarin saya mendapat berita sedih dari seorang sahabat karib. Anak saudaranya yang berumur 3 bulan kembali ke rahmatullah ketika di bawah jagaan pusat jagaan kanak-kanak. Kedua ibu bapanya mendapat panggilan telefon pada jam 6 petang dan diberitahu keadaan anak yang biru.


10 minit selepas ibu bapanya sampai, keadaan anak sudah pun kaku dan sejuk. Terus di bawa ke hospital dan didapati, anak tersebut telah pun meninggal dunia. Kes ini telah pun menjadi kes polis dan sedang dalam siatan untuk mengetahui punca kematian.

Pada pendapat saya, semua pekerja taska seharusnya diberi latihan atau kursus tentang bantuan kecemasan. Jika berlaku sesuatu pada anak-anak yang dijaga, beri bantuan kecemasan dahulu atau terus bawa ke hospital.

Bukannya menghubungi ibu bapa dahulu, tunggu ibu bapa sampai, dan ibu bapa pula yang terpaksa bawa anak tersebut ke hospital. Pada ketika itu mungkin keadaan sudah terlambat.

Saya bukanlah orang yang paling sesuai untuk tenangkan ibu bapa tersebut. Tetapi apabila keadaan seperti ini berlaku, saya hanya mampu berdoa agar Allah berikan kekuatan untuk mereka dan moga cepat-cepat dikurniakan anak lagi sebagai ganti.

Kita wajib redha dengan ketentuan Allah. Mati itu adalah pasti. Sebagai ibu kita pasti akan merindui anak-anak kita, apatah lagi anak  yang 'pergi' itu adalah anak kecil yang masih menyusu badan. Hanya 3 bulan Allah pinjamkan.

Tak dapat saya bayangkan hari-hari yang terpaksa dilalui oleh ibu terutama ketika waktu mengepam susu di saat anak itu telah pun dijemput Ilahi. Tetapi yakinlah, ibu bapa yang kehilangan anak-anak yang belum baligh adalah mereka yang terpilih. Beruntunglah mereka...

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Disamping para malaikat dan Hurul-aini (bidadari syurga), maka kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh, juga menyambut kedatangan ibu bapanya di pintu syurga. Sabda Rasullulah saw yang bermaksud : 

" Ketika aku mikraj ke langit, tiba-tiba aku mendengar suara kanak-kanak. Aku bertanya: " Wahai Jibril, siapakah mereka itu?" 

Jibril menjawab : 

"Mereka adalah anak cucu orang Islam yang meninggal dunia sebelum baligh. Mereka itu di asuh oleh Nabi Ibrahim as sampai orang tuanya datang." (HR. Abu Daud)

Anak-anak orang Islam yang meninggal dunia pada waktu kecil, di alam Barzakh dia dikumpulkan pada suatu tempat di bawah penjagaan Nabi Ibrahim as. Setelah kiamat tiba, mereka langsung dipindahkan ke dalam syurga. Jadi mereka tidak melalui Mahsyar,hisab,mizan dan sebagainya.

Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud :

"Tiap-tiap anak orang Islam yang mati sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah." (HR. Bukhari dan Muslim).

Setelah dipindahkan ke dalam syurga, maka anak-anak kecil ini lupa kepada kehidupan dunia. Mereka lupa kedua ibu bapanya, lupa kepada kampung halamannya dan sebagainya. Tiba-tiba pada suatu hari, ketika mereka sedang bermain-main menikmati kesenangan syurga, maka ada malaikat yang memberitahukannya: 

"Wahai Wildan, lupakah kamu kepada kedua orang tuamu?Sekarang mereka sudah berada di pintu syurga. "

Ketika itulah baru mereka tahu dan ingat kembali kepada ayah bonda mereka yang selama ini mereka lupakan.

Mendengar apa yang dikatakan oleh malaikat itu, dalam keadaan menangis dan membawa air dengan segera mereka berlari menuju ke pintu syurga. Sesampainya di sana, mereka melihat Hurul-aini sedang tegak berbaris sepanjang jalan dengan memakai pakaian dan perhiasan yang serba indah.

Setelah pintu syurga terbuka, dengan diiringi nyanyian merdu Hurul-aini, maka orang-orang pun berebut masuk ke dalamnya, dan ketika itulah anak-anak kecil ini sibuk mencari kedua ibu bapanya.


Mereka mencari ke sana ke mari, tetapi tidak berjumpa. Sambil menangis dan memegang air tangan maka pergilah mereka kepada malaikat serta bertanya: 

"Wahai malaikat, mana ayah dan ibu kami?"
Menjawab malaikat: 

Wahai Wildan, sungguh malang nasib kamu, kedua orang tua kamu terjatuh ke dalam neraka."

Mendengar ungkapan yang demikian itu, maka anak kecil tadi menangis sejadi-jadinya, menangis menghiba dengan ratapan yang menyayat hati: 

"Wahai ibuku, wahai ayahku,apakah kesalahanmu,apakah dosamu sehingga kamu terjatuh ke dalam neraka?"

Begitulah ratapan mereka.


Berkata Malaikat: 


"Wahai wildan jangan menangis, pergilah kamu memohon bantuan kepada Nabi Muhammad SAW." 

Setelah anak kecil ini mengadu kepada Nabi Muhammad SAW, maka Nabi Muhammad pun mengangkat kedua tangannya berdoa, lalu dikeluarkanlah orang-orang mukmin yang berda dalam neraka itu. 

Inilah syafaat Nabi Muhammad SAW yang ketiga di akhirat. Petama pada waktu ditimbang antara dosa dan pahala, yang kedua pada waktu meniti Shiratul Mustaqim yang ketiga ketika mengeluarkan orang dari dalam neraka. 

Maka ketika itu bertemulah antara anak-anak kecil tadi dengan kedua orang tuanya dengan perasaan gembira.

Firman Allah SWT yang maksudnya : 


"Pada hari itu mereka berjumpa dengan perasaan gembira. " (Ad-Dahr: 11)



No comments:

Post a Comment